Thursday 14 November 2013

Pinda Akta Muflis 1967 Bukti Keprihatinan Kerajaan Tangani Isu Muflis- Sohaimi


Kuala Lumpur, 14 Nov– Sekretariat Bebas Muflis hari ini menyambut baik perhatian dan tindakan kerajaan serta Jabatan Insolvensi yang telah menerima pandangan dan cadangan dari Sekretariat Bebas Muflis yang mana Akta Kebangkrapan 1967 akan digantikan dengan Akta baharu yang akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Dato' Sohaimi Shahadan berkata, Sekretariat Bebas Muflis adalah sebuah sekretariat bersama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), merupakan satu inisiatif bagi membantu golongan golongan muflis menyuarakan pendapat, rintihan dan permasaalahan yang dihadapi apabila dijatuhkan hukuman sebagai seorang yang bangkrap atau muflis.

"Dengan seramai lebih 250 ribu pemuflis yang ada sekarang ini dan hanya 28% sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Insolvensi untuk ditadbir dan diberi peluang kedua, kami merasakan wajar kami membantu dan menerangkan serta memberi khidmat nasihat kepada para muflis akan hak hak dan peluang kedua yang diberikan oleh kerajaan.

“Kebangkrapan bukan penghujung hidup, sebaliknya ia boleh menjadi pelindung apabila seseorang gagal untuk membayar hutangnya kepada pemiutang atas pelbagai faktor” menjadikan kita di Sekretariat Bebas Muflis amat bersemangat sekali untuk membantu para muflis dan Jabatan Insolvensi dalam melaksanakan usaha usaha membebaskan para muflis daripada kemelut hutang yang ditanggung," ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambahnya, antara perkara yang di umumkan oleh YB Hajah Nancy Hj Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggunjawab ke atas  Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), adalah pelepasan automatik kepada golongan muflis selepas sesuatu tempoh tertentu dan difahamkan draf undang undang itu telah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain itu juga kerajaan akan memberikan peluang kedua yang lain di dalam draf cadangan tersebut.

"Sekretariat Bebas Muflis ingin juga menyarankan agar beberapa cadangan lain saperti penggunaan khidmat CTOS (yang dikendalikan oleh swasta) yang banyak menyusahkan orang ramai dari segi maklumat yang tidak dikemas kini dan ini menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan, agar dikaji semula dan dihentikan terus perkhidmatannya dan digantikan dan diuruskan oleh pihak kerajaan sendiri dalam menentukan status kredit seseorang untuk dinilaikan oleh institusi kewangan dan sebagainya.

Selain itu kami berharap agar proses pinjaman dan lain lainnya dirombak semula agar tidak ada timbul masaalah penjamin sosial, teknikal, terianiaya dan tertipu dengan sistem yang ada sekarang ini," ujarnya lagi.

Sekretariat Bebas Muflis ingin mengingat dan menyarankan agar draf Akta baru ini yang akan dibentangkan diparlimen tahun hadapan merupakan satu Akta yang lengkap, kemas dan meliputi semua penyelesaian keatas permasaalahan yang timbul selama ini dengan mengambil kira peredaran zaman yang mana kemajuan bergerak dengan pantas dan sesuatu Akta itu bukanlah selalu boleh digubal.