SUNGAI BULOH 3 Okt. - Mereka yang muflis akibat menjadi penjamin
sosial, masalah teknikal dan tertipu mendapat jaminan lisan daripada menteri
berkaitan bahawa masalah mereka akan diselesaikan.
Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan
berkata, jaminan lisan itu diperoleh ketika sekretariat mengadakan kunjungan
hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Ketua
Pengarah Insolvensi, Rohana Abd. Malek baru-baru ini.
"Pada pertemuan itu kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) telah diberi jaminan lisan oleh menteri bahawa masalah muflis dalam
kalangan penjamin sosial akan diselesaikan dengan cara terbaik.
"Malah menteri juga bersetuju menerima penubuhan kami di mana
perlunya sebuah entiti lain seperti Sekretariat Bebas Muflis untuk menjadi
pemudah cara dan memberikan pemahaman antara golongan muflis dan juga
jabatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Sekretariat Bebas
Muflis di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO
turut berkata, pada fasa pertama itu sekretariat akan mengumpul nama-nama
mereka yang 'dizalimi' untuk diberikan khidmat nasihat sebelum kes mereka
dihantar ke Jabatan Insolvensi.
Malah Sohaimi turut menegaskan, sekretariat akan mendesak jabatan
agar menyelesaikan dengan kadar segera masalah golongan muflis yang berkait
dengan penjamin sosial, masalah teknikal mahupun yang ditipu.
"Selama ini golongan ini terasa dipinggirkan dan mereka juga
menganggap jabatan tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka jadi kita akan
menjadi jambatan sebagai penghubung dan insya-Allah kita akan cuba selesaikan
masalah mereka.
"Untuk itu juga kita merayu Jabatan Insolvensi akan menjadi
lebih proaktif bagi membolehkan masalah golongan teraniaya ini diselesaikan
secepat mungkin dan tidak lagi menjadi batu penghalang," katanya. - UTUSAN
ONLINE