Thursday 14 November 2013

Pinda Akta Muflis 1967 Bukti Keprihatinan Kerajaan Tangani Isu Muflis- Sohaimi


Kuala Lumpur, 14 Nov– Sekretariat Bebas Muflis hari ini menyambut baik perhatian dan tindakan kerajaan serta Jabatan Insolvensi yang telah menerima pandangan dan cadangan dari Sekretariat Bebas Muflis yang mana Akta Kebangkrapan 1967 akan digantikan dengan Akta baharu yang akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Dato' Sohaimi Shahadan berkata, Sekretariat Bebas Muflis adalah sebuah sekretariat bersama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), merupakan satu inisiatif bagi membantu golongan golongan muflis menyuarakan pendapat, rintihan dan permasaalahan yang dihadapi apabila dijatuhkan hukuman sebagai seorang yang bangkrap atau muflis.

"Dengan seramai lebih 250 ribu pemuflis yang ada sekarang ini dan hanya 28% sahaja yang berdaftar dengan Jabatan Insolvensi untuk ditadbir dan diberi peluang kedua, kami merasakan wajar kami membantu dan menerangkan serta memberi khidmat nasihat kepada para muflis akan hak hak dan peluang kedua yang diberikan oleh kerajaan.

“Kebangkrapan bukan penghujung hidup, sebaliknya ia boleh menjadi pelindung apabila seseorang gagal untuk membayar hutangnya kepada pemiutang atas pelbagai faktor” menjadikan kita di Sekretariat Bebas Muflis amat bersemangat sekali untuk membantu para muflis dan Jabatan Insolvensi dalam melaksanakan usaha usaha membebaskan para muflis daripada kemelut hutang yang ditanggung," ujarnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambahnya, antara perkara yang di umumkan oleh YB Hajah Nancy Hj Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggunjawab ke atas  Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), adalah pelepasan automatik kepada golongan muflis selepas sesuatu tempoh tertentu dan difahamkan draf undang undang itu telah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara.

Selain itu juga kerajaan akan memberikan peluang kedua yang lain di dalam draf cadangan tersebut.

"Sekretariat Bebas Muflis ingin juga menyarankan agar beberapa cadangan lain saperti penggunaan khidmat CTOS (yang dikendalikan oleh swasta) yang banyak menyusahkan orang ramai dari segi maklumat yang tidak dikemas kini dan ini menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan, agar dikaji semula dan dihentikan terus perkhidmatannya dan digantikan dan diuruskan oleh pihak kerajaan sendiri dalam menentukan status kredit seseorang untuk dinilaikan oleh institusi kewangan dan sebagainya.

Selain itu kami berharap agar proses pinjaman dan lain lainnya dirombak semula agar tidak ada timbul masaalah penjamin sosial, teknikal, terianiaya dan tertipu dengan sistem yang ada sekarang ini," ujarnya lagi.

Sekretariat Bebas Muflis ingin mengingat dan menyarankan agar draf Akta baru ini yang akan dibentangkan diparlimen tahun hadapan merupakan satu Akta yang lengkap, kemas dan meliputi semua penyelesaian keatas permasaalahan yang timbul selama ini dengan mengambil kira peredaran zaman yang mana kemajuan bergerak dengan pantas dan sesuatu Akta itu bukanlah selalu boleh digubal.


Thursday 3 October 2013

Sekretariat Bebas Muflis bela golongan muflis



SUNGAI BULOH 3 Okt. - Mereka yang muflis akibat menjadi penjamin sosial, masalah teknikal dan tertipu mendapat jaminan lisan daripada menteri berkaitan bahawa masalah mereka akan diselesaikan.

Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jaminan lisan itu diperoleh ketika sekretariat mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan Ketua Pengarah Insolvensi, Rohana Abd. Malek baru-baru ini.

"Pada pertemuan itu kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diberi jaminan lisan oleh menteri bahawa masalah muflis dalam kalangan penjamin sosial akan diselesaikan dengan cara terbaik.

"Malah menteri juga bersetuju menerima penubuhan kami di mana perlunya sebuah entiti lain seperti Sekretariat Bebas Muflis untuk menjadi pemudah cara dan memberikan pemahaman antara golongan muflis dan juga jabatan," katanya kepada pemberita pada pelancaran Sekretariat Bebas Muflis di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO turut berkata, pada fasa pertama itu sekretariat akan mengumpul nama-nama mereka yang 'dizalimi' untuk diberikan khidmat nasihat sebelum kes mereka dihantar ke Jabatan Insolvensi.

Malah Sohaimi turut menegaskan, sekretariat akan mendesak jabatan agar menyelesaikan dengan kadar segera masalah golongan muflis yang berkait dengan penjamin sosial, masalah teknikal mahupun yang ditipu.

"Selama ini golongan ini terasa dipinggirkan dan mereka juga menganggap jabatan tidak akan dapat menyelesaikan masalah mereka jadi kita akan menjadi jambatan sebagai penghubung dan insya-Allah kita akan cuba selesaikan masalah mereka.


"Untuk itu juga kita merayu Jabatan Insolvensi akan menjadi lebih proaktif bagi membolehkan masalah golongan teraniaya ini diselesaikan secepat mungkin dan tidak lagi menjadi batu penghalang," katanya. - UTUSAN ONLINE


Wednesday 2 October 2013

Bebas Muflis ............ Harapan Baru


Salam

Buat semua sahabat2 Muflis .... Anda Masih Ada Peluang Kedua, mohon maaf kerana kami tidak dapat update apa-apa perkembangan sehinggalah ke hari nie memandangkan usaha yang dilakukan tak boleh sangat diuar-uarkan sehingga mencapai kata putus dengan pihak kerajaan dan Jabatan-jabatan yang berkaitan ....

Insya-Allah, sudah ada sinar di hujung terowong, pihak Kerajaan sendiri telah bersetuju untuk Akta Kebankrapan 1967 dipinda bantu individu bankrap....


sila rujuk di sini. 

Akta Kebankrapan 1967 bakal dipinda bantu individu bankrap

dari blog ..... www.sahabat-gunung.com

Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses meminda Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, melalui pindaan itu, beberapa peruntukan alternatif akan diperkenal kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutang berasaskan pada kerangka perundangan insolvensi seperti perkiraan sukarela individu dan skim pembayaran semula hutang.

Beliau berkata, draf rang undang-undang kebankrapan itu telah dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara.

"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan ialah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam suatu tempoh masa tertentu," katanya dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin tahu cadangan kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memudahkan seseorang yang muflis keluar daripada kemuflisan.

Nancy berkata, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi, seramai 246,357 individu diisytihar bankrap secara automatik dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen serta dilarang ke luar negara.

Menurutnya, subseksyen 38(1)(c) Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) melarang individu yang diisytihar bankrap untuk keluar negara kecuali dengan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi Malaysia.

Nancy memberitahu, berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi seseorang muflis untuk keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui perintah mahkamah, sijil pelepasan oleh Ketua Pengarah Insolvensi dan pembatalan melalui perintah mahkamah.

"Bagi pelepasan bankrap, pemohon boleh memfailkan permohonan di mahkamah bila-bila masa selepas dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman.

"Bagi pelepasan melalui sijil pelepasan, ia mengikut kuasa budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi. Bagi melayakkan seseorang itu dilepaskan, kes kebankrapan mestilah ditadbir melebihi lima tahun selain kriteria lain tetapi tertakluk pada bantahan pihak pemiutang," katanya.

Beliau berkata, bagi pembatalan bankrap melalui perintah mahkamah pula, permohonan boleh dibuat sama ada apabila tuntutan telah dibayar sepenuhnya atau apabila fakta kes menunjukkan bahawa bankrap tidak sepatutnya dijatuhkan perintah penerimaan dan perintah penghukuman.

Wednesday 19 December 2012

Anda Muflis- Anda Masih Ada Peluang Kedua ......


Tampil beri kerjasama dan pandangan untuk cari penyelesaian. Itu peluang menanti mereka yang disenaraihitamkan serta diisytihar muflis terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak serta bebas dari belenggu bankrap.

Menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda UMNO bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk pertimbangan selanjutnya.

Menjelaskan perkara itu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan inisiatif itu berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000 orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat pembelaan.
Katanya, hasil pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini, terdapat ruang untuk mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan komitmen kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu.

“Kita mahu mereka ini tampil untuk memberikan pandangan serta bekerjasama dengan kita. Hasil daripada maklumat itu, kita akan bawa kepada pengetahuan pihak berkuasa dan saya yakin, akta baru nanti memberikan lebih ruang kepada orang yang bankrap untuk mendapat peluang kedua.

“Difahamkan, hanya dua puluh peratus saja yang berjaya dikenalpasti sementara bakinya tidak diketahui. Kita bimbang jika tidak dicegah, ia akan mengancam masa depan serta produktiviti negara,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap di sini, petang tadi.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim Said Khadaied.

Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata, orang ramai boleh melayari blog 
www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.

Menurutnya, satu forum berkaitan isu berkenaan akan diadakan penghujung Januari depan dengan menghimpunkan mereka yang muflis untuk berbincang mengenai masalah terbabit dengan penyertaan beberapa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menjawab segala perkara berbangkit.

“Kita juga melantik artis Fizo Omar sebagai duta kerana dia juga diisytihar muflis, jadi saya berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Pemuda Gerakkan Inisiatif Bantu 240,000 orang muflis yang tidak dapat pembelaan